Sunday, November 30, 2008

Melayu Banyak 'bermasalah"

Melayu banyak 'bermasalah'


REMAJA mempersembahkan tarian 'Hip-Hop' pada program Helo! Kuching Art Events di Tebingan Kuching, kelmarin.


KUCHING 30 Nov. - Sebanyak 80 peratus mereka yang terbabit dengan gejala sosial di negeri ini adalah membabitkan masyarakat kaum Melayu.

Menteri Muda Alam Sekitar, Dr. Abang Abdul Rauf Abang Zen berkata, statistik itu berdasarkan kajiannya sendiri selama 20 tahun yang turut membabitkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut.

Menurut beliau, kajiannya juga mendapati kebanyakan mereka adalah kumpulan yang sudah berumahtangga, generasi muda serta mereka yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.

"Kumpulan ini menghadapi masalah ekonomi masing-masing sama ada tiada pekerjaan atau disebabkan kemiskinan hingga menyebabkan mereka terjebak dalam masalah gejala sosial.

"Ini kerana, mereka cuba melarikan diri daripada masalah yang dihadapi dengan mula berjinak-jinak mengambil minuman beralkohol, dadah atau sebagainya lalu wujud masalah sosial lain akibat tindakan-tindakan mereka itu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau ditemui ketika menyaksikan program Helo! Kuching Art Events anjuran beberapa pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di sekitar bandar raya ini yang menggelarkan organisasi tersebut sebagai I LOVE KUCHING di Tebingan Kuching sini.

Abang Abdul Rauf berkata, bagi mengatasi masalah seumpama itu, kerajaan menggalakkan masyarakat membabitkan diri dengan program-program yang mampu mendatangkan faedah termasuk perniagaan kecil-kecilan.

Tambahnya, generasi muda pula perlu digalakkan untuk mengadakan program yang membabitkan rakan sebaya, contohnya aktiviti hiburan yang turut menerapkan nilai keilmuan seperti membuka gerai makanan, jualan aksesori di samping mampu mencungkil bakat baru menerusi pertandingan tersebut.

Secara tidak langsung, jelasnya, generasi muda bukan hanya berhibur semata-mata bahkan mereka berpeluang untuk mencungkil bakat, belajar berniaga dan memperoleh ilmu dengan aktiviti seumpama itu.

"Bagi kumpulan yang bekerja namun berpendapatan rendah, para majikan harus mempunyai inisiatif untuk menaikkan gaji kumpulan berkenaan berdasarkan kebolehan serta kemahiran terkini para pekerja tersebut.

"Untuk meningkatkan kemahiran para pekerja, majikan perlu menghantar mereka menjalani latihan atau sebagainya bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran sebelum menaikkan gaji mereka sesuai dengan kelayakan yang diperoleh," ujarnya.


Utusan Malaysia 1 Disember 2008